5 PERKARA YANG PERLU DIFIKIRKAN SEBELUM BEKERJA SAMBIL MELANCONG KE KOREA SELATAN

 

Sejak aku balik dari Korea selepas ditahan pihak imigresen, aku dihujani dengan pertanyaan di inbox Facebook. Ada yang nak bertanya pasal hal kerja di Korea, apa nak buat bila kena tahan dengan imigresen dan banyak lagi.

Dewasa kini begitu banyak iklan di group-group mencari kerja di media sosial yang menawarkan peluang pekerjaan di luar negara seperti Korea Selatan. Real juga pakai ayat dewasa kini.

Kebanyakan penganjur trip ini menggunakan ayat-ayat copywriting yang sangat menarik seperti gaji yang lumayan sehingga mampu menggoncangkan jiwa-jiwa yang rapuh.

Namun sebelum kau membuat keputusan untuk pergi bekerja ke luar negara. Ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dan dititikberatkan. Penganjur trip kebiasaannya hanya memberikan khabar-khabar yang indah dan jarang sekali menerangkan risiko-risiko yang ada ketika kau bekerja di sana. Berikut merupakan antara risiko yang perlu kau hadapi sekiranya kau berniat untuk bekerja di luar negara.

EJEN MENCARI KERJA YANG TIDAK BERTANGGUNGJAWAB
Sebelum mengambil keputusan untuk bekerja di luar negara, kau perlu membuat sedikit kajian untuk mengelakkan kau ditipu oleh scammer yang didalangi oleh mereka yang suka mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain.

Untuk pengetahuan kau, terlalu ramai penganjur trip kerja di luar negara dalam kalangan rakyat Malaysia. Mereka telah menjadikan trip kerja ini sebagai satu bisnes. Kebiasaannya mereka sudah mempunyai sedikit pengalaman bekerja di sana dan mengetahui lubang-lubang mencari kerja. Dengan alasan mahu menolong rakyat Malaysia mencari kerja, mereka mengenakan bayaran sekitar RM2500-RM3500 untuk setiap orang yang berminat.

Ada kes di mana mereka yang baru tiba di lapangan terbang tidak diambil oleh penganjur trip kerja seperti yang dijanjikan sebelum ini. Akibatnya, mereka terkontang-kanting sendiri di kawasan lapangan terbang tanpa arah tujuan. Belum lagi kes dah sampai satu-satu tempat tapi majikan atau kepala kontrak tak pickup.

Namun ini tidak bermaksud semua penganjur trip adalah scammer. Terdapat juga penganjur trip yang bertanggungjawab dan akan membantu dengan baik sehingga kau mendapat pekerjaan di sana.

PENIPUAN OLEH MAJIKAN, KEPALA KONTRAK DAN LAIN-LAIN
Perkara ini juga biasa berlaku dekat sana walaupun benda ini sebenarnya berlaku di mana-mana. Contohnya gaji tak dibayar penuh, gaji kena tahan, gaji kena tolak dengan benda-benda tak masuk akal dan sebagainya. Lagi lah kau bukan orang sana, memang senang-senang kau nak kena tipu. Tak puas hati sila berhenti dan cari kerja lain. Senang kan?

KAU SEBENARNYA PEKERJA TANPA IZIN
Sebagai seorang pelancong yang datang ke luar negara, kau akan dibenarkan untuk tinggal di negara tersebut mengikut satu tempoh masa tertentu. Sebagai contoh sekiranya kau melancong ke Korea Selatan, kau dibenarkan untuk berada di sana selama tiga bulan.

Bekerja menggunakan visa pelancong merupakan satu kesalahan dari segi undang-undang imigresen. Sekiranya berlaku serbuan oleh pihak imigresen ketika kau sedang bekerja, kau boleh ditahan dan dihantar pulang ke negara asal masing-masing dan dilarang untuk memasuki negara tersebut selama beberapa tahun.

Mungkin ada penganjur trip yang membuat tawaran untuk membuat ID Korea. Perlu diingat kau perlu membuat bayaran pula untuk membuat ID. Aku pernah tanya dalam lingkungan 600-800k Won melalui orang tengah.

TARAF KAU SAMA DENGAN PEKERJA ASING YANG LAIN
Jika sebelum ini kau pernah terfikir yang kerja kilang di Korea ini adalah sesuatu yang sama macam kerja kilang di Malaysia yang ada uniform lengkap, naik bas bersama-sama, boleh mengular masa kerja dan sebagainya, eloklah kau jangan pergi ke sana.

Budaya kerja di Korea mementingkan produktiviti dan kepantasan. Sekiranya kau bekerja secara slow dan steady, mereka paling tak suka. Ayat yang paling selalu aku dengar masa kerja ialah “Palli palli” yang bermaksud cepat-cepat.

Satu lagi kau kini setaraf dengan pekerja asing lain. Silap hari bulan orang Thailand, orang Bangladesh, orang Tanah Besar China yang jadi supervisor kau. Pandai-pandailah kau bawak diri dan prepare mental dan fizikal.

RISIKO KEMALANGAN KETIKA BEKERJA ATAU JATUH SAKIT
Seringkali kita terbaca atau terdengar mengenai kisah mereka yang sedang bekerja di luar negara yang memerlukan sumbangan untuk membiayai kos rawatan hospital di luar negara atau kos membawa mereka pulang ke Malaysia.

Kau sememangnya tidak dilindungi oleh sebarang insurans oleh pihak majikan jika bekerja di luar negara tanpa permit kerja yang sah. Sekiranya berlaku apa-apa kemalangan di tempat kerja, kau mungkin terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan. Jikalau majikan ada bayar sekalipun mungkin untuk kos rawatan penyakit yang tidak terlalu serius.

Ini adalah lima benda yang aku perhati sepanjang sebulan aku dekat sana sebelum kena tangkap dan berdasarkan pengalaman kawan-kawan aku. Aku tak adalah nak larang. Aku galakkan lagi kau orang pergi dan menimba pengalaman di tempat orang. Cuma kau perlu tahu apa risikonya di sana nanti. Taknaklah kau dijanjikan bulan dan bintang sampai sana rupa-rupanya indah khabar dari rupa.

Kalau kau rasa benda ini bermanfaat kau share lah ke kawan-kawan yang bercadang nak kerja ke sana.

 

CC. Mohd Hazwan

Facebook Comments

Like Us