Batu Caves sebagai pusat pelancongan dunia

Sumber: Airpaz Blog

Kerajaan akan menyalurkan peruntukan kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi tujuan mempromosi Batu Caves agar ia menjadi tempat pelancongan dunia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, ini kerana tempat itu telah menjadi destinasi ikonik kepada pelancong.

“Saya meminta kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan gandakan usaha, lipatkan publisiti untuk membawa lebih ramai lagi pelancong dari luar negara untuk datang ke Batu Caves ini.

“Saya juga akan menyalurkan sedikit lagi peruntukan untuk Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi melakukan promosi untuk Batu Caves ini agar menjadi tempat pelancongan dunia,” katanya ketika berucap pada sambutan Thaipusam di Batu Caves, Selangor.

Pada majlis itu juga, Ahmad Zahid mengumumkan peruntukan tambahan  RM2 juta untuk diserahkan kepada pihak kuil di situ bagi mempersiapkan kompleks kebudayaannya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, keharmonian dan sikap menghormati agama antara satu sama lain telah diterjemahkan dengan sebaik-baiknya di negara ini.

“Kita menghormati agama dan perkara ini termaktub dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Semua agama diberikan kebebasan untuk menjalankan aktivitinya,” katanya.

Beliau yakin sekiranya keamanan yang dinikmati ini dapat dipertahankan, negara terus stabil dan dihormati dunia.

“Inilah indahnya negara kita. Kita melihat keamanan di mana-mana dan saya yakin jika keamanan ini dapat dipertahankan, negara kita akan menjadi sebuah negara yang stabil, dan dihormati oleh seluruh dunia,” katanya.

Sumber: Harian Metro (31 Jan 2018)

Facebook Comments

Categories

Like Us