Kaum India di NS tiada masalah

HAMPIR semua masalah kaum India di Negeri Sembilan sudah dapat diselesaikan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mat itu berkata, antara isu utama ialah masalah kuil, pendidikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), pemilikan tanah dan kebajikan kaum India yang tinggal di ladang atau estet.

“Sejak memegang jawatan Menteri Besar, perkara pertama yang saya buat ialah menstruktur semula masyarakat kita yang berbilang kaum. Kemudian, pendidikan di peringkat asas di sekolah rendah juga menjadi agenda utama sehinggakan Negeri Sembilan menduduki tempat kedua dalam negara bagi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Kerajaan tidak meminggirkan kaum India malah kita bantu selesaikan setiap masalah mereka dengan sedaya upaya” katanya ketika menjadi panel Program Jasa Segar Mekar, India Young Star (IYS) ‘Talk Show’ di Dewan Besar Kolej Vokasional Port Dickson, hari ini. Program berbentuk ‘Talk Show’ itu turut disertai Penganalisis Politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian dan dihadiri kira-kira 300 belia dari sekitar daerah ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar dan ADUN Linggi, Datuk Abdul Rahman Mohd Redza.

Sementara itu, Mohamad berkata, Negeri Sembilan berada di landasan yang betul dan membangun dengan pesat, lebih-lebih lagi dengan pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) membabitkan kawasan Seremban dan Port Dickson.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan wakil belia MIC mengenai peluang pekerjaan yang semakin membimbangkan, Mohamad berkata, kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan peluang pekerjaan di sektor swasta kerana jawatan dalam perkhidmatan awam amat terhad berbanding bilangan graduan yang menamatkan pengajian setiap tahun.

“Di negara kita, lebih 20,000 graduan institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) keluar setiap tahun dan pastinya tidak cukup perjawatan di sektor kerajaan, menyebabkan mereka terpaksa bersaing untuk mendapatkan jawatan yang amat terhad itu.

“Disebabkan keadaan ini, kita memerlukan kerajaan yang kuat dan stabil bagi menarik lebih banyak pelabur datang ke negara kita seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Sumber: Harian Metro (14th Feb 2018)

Facebook Comments

Like Us